Rabu, 11 Mac 2015

KISAHKU : KENANGAN



Aku tertarik dengan seorang jejak tampan yang sering duduk bersendirian di sebuah pondok yang terletak berhampiran pagar sekolah. Dia merupakan satu-satunya jejaka yang ingin aku dekati walaupun aku tidak sehaluan dengan kaum lelaki.

Aku sering melihat dia menulis sesuatu dalam sebuah buku nota yang selalu dibawanya ketika dia sedang berehat di pondok tersebut pada waktu rehat. Aku ingin tahu perkara yang ditulisnya itu.
 
Hari demi hari, aku sering memerhati dirinya. Aku tidak tahu bahawa dia perasan atau tidak tentang perkara ini.

Waktu pagi yang masih gelap, aku dan dia berduaan di dalam kelas. Tempat duduk kami terletak jauh di antara satu sama lain. Aku melihat dia sedang tidur di tempat duduknya. Manakala, aku pula sedang menyiapkan kerja sekolah yang masih belum disiapkan lagi. Selama lima belas minit aku bersama-sama dia di dalam kelas ini tanpa pergi ke mana-mana.

Aku terkejut apabila dia tiba-tiba bangun dari tempat duduknya dan berjalan menuju ke arah aku sambil membawa buku notanya dan sebatang pen biru yang terselit di tepi buku tersebut. Kemudian, dia duduk di sebelah kanan aku di mana terletakknya sebuah kerusi kosong.

Aku tidak tahu macam mana nak bercakap dengan dia masa itu kerana dia duduk di sebelah aku sambil memandang ke arah aku. Manakala, aku hanya tidak mengambil peduli tentang kewujudan dia di sebelah aku dan terus menyiapkan kerja sekolah tersebut.

“Kau tak nak tulis kata-kata semangat untuk aku ke?” Dia menghulurkan buku nota tersebut kepada aku.

“Untuk apa?” Aku bertanya tanpa melihat wajahnya.

“Untuk kenangan sebelum hari perpisahan. Kawan-kawan yang lain dah tulis kata-kata semangat dekat dalam buku ini. Cuma kau seorang yang masih belum tulis,” jelasnya sebelum bangun dari kerusi tersebut.

“Aku ada kerja sekolah yang perlu disiapkan. Lain kali aku tulis,” ujarku sambil meneruskan kerja tersebut.

“Kalau kau dah siap kerja tu nanti, jangan lupa tulis tu,” pesannya sebelum beredar meninggalkan kelas ini.

Kemudian, aku membuka buku nota yang ditinggalkannya tadi. Ternyata, terdapat banyak kenangan yang ditulisnya dalam buku ini. Tanpa aku duga, kisah hidupku dan rakan-rakanku di sekolah ini turut ditulisnya.

Aku mengambil sebatang pen biru yang terselit di tepi buku nota tersebut lalu menulis kata-kata semangat di halaman terakhir buku nota ini.

“Terima kasih kerana sudi menjadi rakan aku selama ini. Aku berharap kau dapat tempuhi pelbagai cabaran selepas ini tanpa rasa putus asa. Teruskan belajar selagi kau mampu untuk mencapai matlamat kau di masa hadapan Aku harap kita dapat bertemu lagi pada masa akan datang,”

Kenangan indah memang tidak dapat dilupakan terutama kenangan bersama-sama orang yang kita cintai. Walaupun cinta ini hanya bertepuk sebelah tangan tetapi sudah cukup berpuas hati apabila dia ada di sini.

Ciptalah kenangan indah anda selagi anda masih bernafas. Semoga kenangan indah anda terpahat di ingatan anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan