Isnin, 16 Mac 2015

KISAHKU : KERANA CINTA



Jika anda tidak mencintai seseorang itu, jangan biarkan dirinya meletak harapan yang tinggi menggunung kepada anda kerana anda akan hancurkan hatinya yang telah lama menaruh harapan untuk hidup bersama-sama.

Jika anda cintakan seseorang itu, anda perlu jujur dan ikhlas bercinta kerana Allah dan bukan untuk kepuasan nafsu semata-mata.

Jika anda terlalu cintakan seseorang, jangan terlalu mengawal dirinya sepenuhnya kerana dia akan terseksa dan menyalahkan cinta.

Jika anda tidak mampu setia, jangan membuat sebarang janji sesuka hati kerana anda mungkin akan mungkiri janji dan melukakan hati si dia yang mengharapkannya.

Jika dia bukan milik anda, jangan memaksanya mencintai anda kerana dia telah bertemu jodohnya.

Jika anda tidak mampu mengahwini dirinya, jangan mengawalnya seperti anda adalah isteri atau suaminya kerana dia juga perlukan kebebasan untuk diri sendiri.

Jika anda ingin menolak cintanya, jangan gunakan kata-kata kesat kerana dia akan membenci diri anda dan ada kemungkinan dia berdendam terhadap diri anda.

Jika anda kecewa, jangan salahkan cinta kerana itu ialah jalan cinta yang anda pilih.
Jika anda menangis kerana cinta, anda merupakan seorang yang setia.

Jika anda cemburu apabila kekasih anda bersama-sama rakan lelaki atau rakan perempuan yang lain, jangan terlalu menghalangnya kerana dia akan berasa tersingkir daripada rakan-rakannya.

Jika anda benar-benar mencintainya dan tidak mahu kehilangannya, percepatkanlah ikatan yang sah untuk memilikinya kerana ikatan ini dapat mengelakkan maksiat dan nafsu semata-mata.

Jika dia jodoh anda, terimalah dirinya sebagai insan yang penting dalam hidup anda walaupun anda tidak pernah mencintainya kerana cinta akan bermula selepas itu.

Jika dia bukan jodoh anda, redalah dengan segala ketentuan yang telah ditakdirkan kerana dia milik insan yang lain.

Cinta sangat indah jika anda memahami ertinya. Bercinta bukan sahaja sebelum perkahwinan,  bercintalah sampai ke hujung hayat. Bercinta sehingga ke pintu Syurga.

Ahad, 15 Mac 2015

KISAHKU : MISTERI



Kadang-kadang aku dapat mendengarnya, aku dapat merasainya, aku dapat menghidunya, aku dapat bayangkannya tetapi aku tidak dapat melihatnya. Situasi yang kurang jelas ini sering kali buatkan aku rasa gementar dan gelisah. Aku jarang dapat mendengarnya tetapi aku sering merasainya. Di mana sahaja aku pergi aku dapat rasakannya. Rasa seperti sedang diekori dan sedang diperhatikan. Aku sering pandang tepat di mana perasaan itu dapat di rasai. Pandanganku terpaku di sana dan tidak dapat dialih kerana keinginan aku untuk tahu siapakah yang memerhati aku. Hari demi hari, situasi itu terus berlaku walaupun jarang.

Pada hari lahir aku yang ke-14, mimpi datang mengundang. Suara, bau, perasaan dan aku dapat melihatnya. Mereka memang ada di sana, di mana tempat-tempat yang sering kali menarik perhatian aku untuk mengetahuinya.

Mimpi itu terus-menerus mengganggu lena aku. Setiap kali aku pejamkan mata aku dapat melihatnya walaupun hanya sesaat. Kadang kala suara itu jelas kedengaran sedang berbisik di telingaku ketika mata aku sedang pejam.

Sewaktu kecil, ayah aku selalu bawa pergi ke rumah rakan-rakannya. Biasalah pergi rumah orang mesti ada jamukan minuman dan makanan. Kebiasaannya aku tidak makan atau minum di rumah orang. Kalau nak minum pun air masak sahaja. Kalau ayah datang ke rumah kawannya bersam-sama aku, ayah mesti balik awal sebab aku tidak suka bertandang rumah orang lama-lama. Tidak selesa. Rasa sedang diperhatikan. Sehingga kini, aku masih merasainya apabila bertandang di rumah orang lain termasuklah kawan-kawan sendiri.

Di rumah nenek dan datuk aku ada sebuah bilik lama di tingkat dua. Biasalah rumah kayu waktu itu. Bilik itu ada tingkap yang dapat dilihat dari dalam rumah. Bilik yang gelap. Setiap kali aku datang ke rumah nenek dan datuk, mata aku tidak lepas melihat bilik itu. Aku sering tertanya-tanya apa yang ada di dalam bilik itu walhal aku pernah masuk ke dalamnya sebelum ini untuk mengambil barang-barang dapur.

Walaupun rumah nenek dan datuk sendiri aku tetap tak selesa. Rasa takut dan gelisah. Waktu malam apabila semua orang sudah tidur, aku tetap tidak dapat tidur sebab takut. Aku dapat dengar bunyi sesuatu sedang berjalan di dalam bilik itu. Kadang kala di atas bumbung dan luar rumah. Bunyi kain mencecah lantai dan bau yang tidak dapat dijelaskan. Mimpi yang menakutkan semakin menjadi-jadi. Berkali-kali aku membaca surah-surah dalam Al-Quran yang aku tahu tetapi perasaan itu tidak hilang juga. Aku rasa dia ada dekat dengan aku dan sedang memerhati aku. Waktu itu aku cuma dapat bayangkan lembaga berjubah putih dan berambut panjang.

Selepas itu, aku tanya mak aku untuk menjawab misteri yang sedang berlegar dalam fikiran aku. Ternyata apa yang aku fikirkan itu sama seperti lembaga yang mak pernah lihat sebelum itu. Lembaga yang bertenggek di atas pokok kabu berhampiran rumah tersebut.

Selepas kejadian itu sehingga kini, aku sudah tidak datang tidur di rumah nenek dan datuk aku. Walaupun bilik itu sudah tiada kerana nenek dan datuk telah membuat rumah baru tetapi perasan itu tetap sama tiada yang berubah  malah lebih teruk daripada itu. Mereka semakin banyak.

Selangkah aku masuk ke kawasan rumah itu, perasaan aku berubah. Kalau dalam perjalanan menuju ke rumah datuk dan nenek aku sibuk berbual-bual dengan adik-beradik, aku akan terdiam bila masuk dalam kawasan rumah itu dan mata aku tertumpu di suatu sudut di mana aku sendiri pun tidak tahu apa yang ada di situ.

Suatu malam aku bermimpi rumah itu dipenuhi mereka yang tidak siapa dapat melihatnya. Pelbagai rupa dan gaya. Aku sendiri tidak dapat menjelaskannya. Aku terkejut apabila aku bermimpi makcik aku bermata merah. Dia datang menuju ke arah aku yang berada di dalam rumah itu sambil dia berkata sesuatu dalam bahasa yang aku tidak fahami. Hanya Tuhan sahja yang tahu bertapa takutnya aku walaupun hanya mimpi tapi aku rasa betul-betul terjadi.

Aku terjaga daripada lena apabila terdengar suara mak dan ayah bising pada malam itu. Tidak aku sangka makcik aku telah kerasukan pada malam itu. Aku berdoa sepanjang malam itu semoga semuanya selamat. Ayah pergi ke rumah datuk pada waktu malam lebih kurang dalam pukul 11.30 malam. Aku tidak dapat tidur dan terus berfikir,apakah maksud mimpi itu?

Allah Maha Pengasih lagi Maha penyayang.

Sejak itu, mimpi ngeri berkurangan. Mimpi aku kembali tenang. Namun, perasaan tetap sama.

Tahun baru, kisah baru. Tahun di mana aku mengambil PMR terdapat banyak dugaan malah bukan untuk aku sahaja tetapi untuk kawan-kawan yang sama tahun dengan aku juga.

Kami di tempatkan di sebuah bangunan kelas lama yang dulunya menjadi stor barangan. Kelas itu terletak berdekatan surau sekolah. Disebabkan waktu itu sekolah kekurangan kelas, kami terpaksa ditempatkan di sini. Kedua-dua kelas yang kusam itu kami ceriakan. Walaupun luar nampak uzur tetapi di dalamnya selesa untuk belajar.

Kali pertama aku menjejakan kaki ke dalam kelas itu, aku dapat rasakannya. Perasaan yang sedikit tenang bercampur gelisah. Aku sengaja mengambil tempat di tepi tingkap kerana mahu melihat kehijauan alam. Tingkap yang aku pilih itu menghala ke hutan belakang sekolah di mana tertanamnya pelbagai pokok termasuklah pokok rambutan.

Bila aku duduk di situ aku berasa tenang berbanding duduk di tempat-tempat kawan-kawan aku, rasa panas dan tidak selesa. Walaupun aku rasa diperhatikan tetapi tetap rasa tenang. Aku sendiri pun tidak tahu kenapa.

Setengah tahun, aku dan kawan-kawan aku tinggal di dalam kelas ini.Kami tidak mengalami sebarang gangguan tetapi sikap malas belajar itu memang syaitan suka menghasut tidak kira di mana pun. Aku adalah orang pertama yang selalu datang awal ke sekolah. Sendirian menuju ke kelas yang gelap dan uzur itu. Kalau orang lain mesti tunggu kawan-kawan sampai dulu baru masuk ke dalam kelas sebab takut. Tapi aku terus menuju ke kelas tanpa menunggu sesiapa pun walaupun kelas itu dekat dengan hutan belakang sekolah.

Langkah kanan dan memberi salam. Tekan suis lampu, buka pintu, buka tingkap dan menyapu sampah walaupun bukan aku yang bertugas. Selama aku tinggal di sini aku telah menjaga kelas ini sebab aku tidak mengharapkan sangat mereka untuk mengemas kelas. Aku rasa aku tidak sendirian dalam kelas ini walhal aku seorang diri di sini pada waktu pagi jam 7.00 pagi. Kawan-kawan aku selalu datang pada pukul 7.15 pagi. 15 minit sendirian tanpa keluar dari kelas dan hanya duduk di tempat duduk sambil menyiapkan kerja sekolah yang tertangguh.

Ketenangan bukan selamanya seperti ini.

Satu kes histeria telah menggemparkan sekolah kami. Satu persatu yang terkena. Aku tertanya-tanya, kenapa tiba-tiba?

Kemudian, kes kerusi guru dalam kelas bergerak sendiri juga menggemparkan sekolah. Cikgu sedang menulis di papan putih.Manakala, kerusi yang ditinggalkannya berbunyi seperti ditarik hanya sekali. Aku tidak perasan sangat sebab terlalu fokus dengan pelajaran. Mereka yang berada di dalam kelas ini yang perasan perkara itu berlaku.

Keesokkan paginya, aku tidak masuk ke dalam kelas. Aku berdiri di hadapan kelas dan bertanya kepada diri sendiri, kenapa semua ini berlaku tiba-tiba? Selama ini tidak pernah berlaku seperti ini.

Mata aku tiba-tiba terpaku di suatu sudut di mana terletaknya sebuah tingkap di tempat aku duduk. Aku dapat lihatnya dari depan kelas kerana tingakap di hadapan kelas tidak ditutup. Aku rasa sedang diperhatikan dari arah situ. Bau... Tidak dapat dijelaskan. Aku terkejut apabila sahabat aku memberi salam. Dia rasa hairan sebab aku berdiri di luar kelas pada hal sebelum ini aku selalu berada di dalam kelas. Aku tidak mahu dia takut, jadi aku hanya mendiamkan diri sahaja dan menuju ke dalam kelas bersama-sama dia.

Kes hiteria terus berlaku. Aku jadi tertekan dengan situasi ini. Cikgu telah pindahkan kami ke makmal komputer lama yang telah menjadi dewan peperiksaan. Aku tetap rasa diperhatikan. Diperhatikan dari belakang. Terdapat sebuah makmal komputer di sebelahnya yang menjadi bilik stor komputer. Pada dinding pembahagi makmal tersebut terdapat sebuah cermin tingkap kecil yang menampakkan situasi di dalam makmal sebelah. Makmal yang gelap.

Semangat aku untuk belajar sedikit demi sedikit terhakis kerana situasi ini. Namun, aku tabah dan tetap berdoa semoga Allah melindungi aku, kawan-kawan aku, dan cikgu-cikgu.

Kadang kala aku terfikir, kalau aku boleh berkomunikasi dengan mereka aku nak tahu kenapa mereka lakukan semua itu kepada kami. Pada masa yang sama, aku juga berharap agar aku tidak dapat melihat wajah mereka. Cukuplah hanya dengar,mimpi, perasaan dan bau kerana itu pun sudah menyakitkan kepala aku ini.

Pada malam majlis berbuka puasa bersama-sama warga sekolah dan ibu bapa, mereka turut ada di sini tetapi aku tidak tahu di mana. Kami pergi ke surau bersama-sama untuk solat Maghrib,Isyak dan Tarawih. Sekilas pandang aku melihat kelas lama kami. Tiada sebarang perasaan tidak senang semasa melihatnya dan tiada tempat yang menjadi tumpuan pandangan aku.

Selepas segalanya selesai, aku dan keluarga aku mahu pulang tetapi kami sedang menunggu sahabat karib aku untuk pulang bersama-sama kerana keluarganya telah pulang dahulu sebelum kami. Aku pergi mencarinya di kantin apabila dia tidak datang ke pagar sekolah tetapi aku tidak jumpa dia. Aku fikir dia telah balik dengan kawan-kawan dia.

Ternyata tekaan aku salah, dia masih di sekolah dan mencari aku. Dia kata dia tidak nampak aku walhal aku ada di hadapan pagar seperti yang telah dijanjikan. Katanya dia ada di kantin sepanjang masa bersama-sama rakan-rakan lain tetapi aku tidak jumpa dia walaupun dah dua tiga kali aku cari dia di kantin sekolah. Aku tidak sangka selepas aku balik malam itu, dia dan rakan-rakan lain terkena histeria. Kemudian, mereka tidur di rumah cikgu yang tinggal di dalam kawasan sekolah.

Dia menangis dan salahkan aku yang telah meninggalkannya di sekolah. Aku terkejut tidak terkata. Rasa geram, kesal, tertekan dan sakit.

Apabila pergi ke surau pada setiap hari sebelum balik dari sekolah, aku lalu di hadapan kelas lama. Aku tenung kelas itu dan bertanya, adakah mata aku dan sahabat aku telah digelapkan pada malam itu? Hentikannya. Minta maaf kalau kami pernah membuat salah sebelum ini. Jangan ganggu kami yang bakal menghadapi peperiksaan ini.

Kemudian, aku menuju ke surau untuk solat Zohor berjemaah.

Gangguan histeria semakin berkurangan selepas solat hajat dan usaha-usaha uataz dan ustazah untuk menghalangnya. Kami mengambil peperiksaan PMR dengan tenang dan mudah.

Allah sentiasa melindungi kami.

Aku semakin sensitif pada usia yang semakin meningkat ini. Gagak menarik perhatian aku walaupun aku tidak percaya kata-kata orang tua-tua bahawa gagak membawa berita buruk.

Apabila kedengaran bunyi gagak aku jadi gelisah tapi aku sendiri pun tidak tahu apa yang digelisahkan. Aku terfikirkan tentang seseorang dan orang ini sedang berada dalam masalah besar. Bukan sekali malah banyak kali. Aku tidak mempercayainya walaupun orang kata itu ramalan kerana bagi aku itu cuma kebetulan.

Hanya Allah yang mengetahui masa hadapan seseorang insan.

Tingkatan lima lebih tenang berbanding sebelum ini kerana tiada sebarang gangguan. Tetapi hanya seketika.

Hari yang menakutkan apabila berlakunya hesteria untuk pertama kalinya pada hari ini. Pagi itu seperti biasa aku datang ke sekolah. Tapi pada pagi itu aku sendirian di kelas. Rasa suram sahaja kelas hari ini. Perasaan terhadap kelas yang suram ni sudah aku rasakan dalam minggu ni tetapi aku anggapnya seperti biasa untuk  menenangkan diri sendiri. Pagi jumaat itu kami ke surau untuk bacaan Yassin. Selepas tu, perjumpaan tingkatan lima di bilik mesyuarat dengan cikgu-cikgu. Tiba-tiba, kami terdengar jeritan budak perempuan di bagunan bawah. Kami sangka budak-budak sedang bermain semasa Pendidikan Jasmani. Ternyata histeria berlaku lagi. Kelas aku, perpustakaan dan beberapa tempat yang lain menjadi tempat tumpuan para ustaz dan ustazah bagi membantu menyelesaikan masalah histeria tersebut.

Semua pelajar menjadi huru-hara. Sahabat aku mula mahu menangis kerana takut. Kami saling membantu menenagkan rakan-rakan kami dan membaca Ayat Kursi bagi melindungi diri daripada terjerebak dalam malah tersebut. Aku memang rasa takut tapi aku cuba tabah supaya rasa takut itu hilang.Masa itu aku cuma ingat baca ayat Kursi sahaja dan berharap
Allah sentiasa melindungi kami.

Takut bukan kepalang kerana perkara ini berlaku secara tiba-tiba. Arahan pulang awal telah dikeluarkan oleh seorang cikgu. Kami terpaksa masuk ke kelas kami yang sepatutnya menjadi kawasan larangan kerana mahu mengambil barang-barang sebelum balik. Kemudian, kami pulang ke rumah masing-masing lebih kurang pada pukul 10.45 pagi.

Aku terus mandi selepas pulang dari sekolah. Selepas itu, aku menunaikan solat hajat bagi melindungi diri aku dan berharap masalah tersebut cepat selesai. Kemudian, aku membaca Surah Yassin sambil mengikut bacaan dalam telefon. Rasa tenang sikit selepas baca Yassin.

Allah Maha Mengetahui kelebihan dan kekurangan makhluk ciptaan-Nya.

Kini, aku hanya berada di rumah dan jarang keluar kerana aku lebih selesa di sini berbanding di tempat lain.

Allah tidak akan menguji makhluk-Nya dengan ujian yang tidak dapat di tempuhi kerana Allah Maha Penyayang dan Maha Memahami.

Rabu, 11 Mac 2015

KISAHKU : KENANGAN



Aku tertarik dengan seorang jejak tampan yang sering duduk bersendirian di sebuah pondok yang terletak berhampiran pagar sekolah. Dia merupakan satu-satunya jejaka yang ingin aku dekati walaupun aku tidak sehaluan dengan kaum lelaki.

Aku sering melihat dia menulis sesuatu dalam sebuah buku nota yang selalu dibawanya ketika dia sedang berehat di pondok tersebut pada waktu rehat. Aku ingin tahu perkara yang ditulisnya itu.
 
Hari demi hari, aku sering memerhati dirinya. Aku tidak tahu bahawa dia perasan atau tidak tentang perkara ini.

Waktu pagi yang masih gelap, aku dan dia berduaan di dalam kelas. Tempat duduk kami terletak jauh di antara satu sama lain. Aku melihat dia sedang tidur di tempat duduknya. Manakala, aku pula sedang menyiapkan kerja sekolah yang masih belum disiapkan lagi. Selama lima belas minit aku bersama-sama dia di dalam kelas ini tanpa pergi ke mana-mana.

Aku terkejut apabila dia tiba-tiba bangun dari tempat duduknya dan berjalan menuju ke arah aku sambil membawa buku notanya dan sebatang pen biru yang terselit di tepi buku tersebut. Kemudian, dia duduk di sebelah kanan aku di mana terletakknya sebuah kerusi kosong.

Aku tidak tahu macam mana nak bercakap dengan dia masa itu kerana dia duduk di sebelah aku sambil memandang ke arah aku. Manakala, aku hanya tidak mengambil peduli tentang kewujudan dia di sebelah aku dan terus menyiapkan kerja sekolah tersebut.

“Kau tak nak tulis kata-kata semangat untuk aku ke?” Dia menghulurkan buku nota tersebut kepada aku.

“Untuk apa?” Aku bertanya tanpa melihat wajahnya.

“Untuk kenangan sebelum hari perpisahan. Kawan-kawan yang lain dah tulis kata-kata semangat dekat dalam buku ini. Cuma kau seorang yang masih belum tulis,” jelasnya sebelum bangun dari kerusi tersebut.

“Aku ada kerja sekolah yang perlu disiapkan. Lain kali aku tulis,” ujarku sambil meneruskan kerja tersebut.

“Kalau kau dah siap kerja tu nanti, jangan lupa tulis tu,” pesannya sebelum beredar meninggalkan kelas ini.

Kemudian, aku membuka buku nota yang ditinggalkannya tadi. Ternyata, terdapat banyak kenangan yang ditulisnya dalam buku ini. Tanpa aku duga, kisah hidupku dan rakan-rakanku di sekolah ini turut ditulisnya.

Aku mengambil sebatang pen biru yang terselit di tepi buku nota tersebut lalu menulis kata-kata semangat di halaman terakhir buku nota ini.

“Terima kasih kerana sudi menjadi rakan aku selama ini. Aku berharap kau dapat tempuhi pelbagai cabaran selepas ini tanpa rasa putus asa. Teruskan belajar selagi kau mampu untuk mencapai matlamat kau di masa hadapan Aku harap kita dapat bertemu lagi pada masa akan datang,”

Kenangan indah memang tidak dapat dilupakan terutama kenangan bersama-sama orang yang kita cintai. Walaupun cinta ini hanya bertepuk sebelah tangan tetapi sudah cukup berpuas hati apabila dia ada di sini.

Ciptalah kenangan indah anda selagi anda masih bernafas. Semoga kenangan indah anda terpahat di ingatan anda.

KISAHKU : WALAUPUN SEKETIKA



Aku bahagia walaupun hanya seketika kerana bagi aku mereka merupakan rakan-rakan yang terbaik dalam kalangan rakan-rakan yang aku miliki. Aku bersyukur kerana pernah mengenali diri mereka walaupun hanya seketika.

Rasa rindu tidak terhingga apabila mereka berjauhan dan tidak kelihatan di hadapan mata aku. Walaupun seketika, aku telah menganggap mereka seperti adik-beradikku sendiri. Susah senang kami bersama-sama dan bersatu dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Aku tidak akan melupai insan-insan yang pernah mendampingi aku walaupun hanya seketika.

Aku bersyukur kerana memiliki seorang ketua yang yang hebat, bijaksana, bertanggungjawab dan bertoleransi. Dia merupakan seorang lelaki yang pernah aku kenal. Seseorang yang pernah memberi semangat kepada aku,hanya melihatnya sahaja. Aku mahu menjadi sehebatnya.

Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat yang sentiasa di samping aku. Sahabat yang setia melayani aku walaupun aku tidak seperti mereka. Hidup dalam kalangan orang yang hebat buatkan aku rasa bersemangat untuk mencapai impian aku.

Ketika kalian bersedih, aku turut bersedih. Namun, aku tidak mengalirkan air mata kerana aku cuba tabah di hadapan kalian. Tetapi aku juga manusia biasa,menangis ialah perkara normal kerana aku juga mempunyai perasaan.

Saat perpisahan, aku menangis tanpa henti. Air mata yang aku tahan selama ini tidak mampu ditahan lagi kerana saat bersama-sama  kalian selama ini buatkan aku gembira walaupun seketika. Saat aku memeluk kalian,aku rasa tidak mahu melepaskannya. Aku sunyi apabila kalian tiada di sini.

Ketika aku menulis coretan ini, aku sedang menangis tanpa mengalirkan air mata kerana air mataku telah kering sejak hari perpisahan kita.

Apabila aku merindui kalian, aku menulis memori silam aku bersama-sama kalian, aku membaca diari lamaku, aku melihat gambar-gambar kita dan aku berdoa agar kalian sentiasa sihat, diberi rahmat dan sentiasa dilindungi oleh Allah.

Andai kata kalian sedang membacanya. Aku berharap  agar kesilapan lalu dimaafkan. Walaupun kalian jauh di mataku namun memori bersama-sama kalian tidak akan aku lupakan walaupun hanya seketika.