Isnin, 2 Februari 2015

KISAHKU : PUTERA TERAKHIR


Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa pada malam yang gelap  ditemani sang rembulan dan dihiasi cahaya ribuan bintang yang tertaburan di langit malam.Aku terlihat si putera berdiri sambil bersandar di bawah pokok sakura.Rambut si putera beralun-alun ketika sang bayu bertiup lembut.Pepohon sakura yang tinggi itu menari-nari manakala bunga-bunganya berterbangan menghiasi malam yang indah ini.Sesekali aku melihat si putera memerhatikan jam tangannya di pergelangan tangan kirinya.Sesekali juga dia memerhatikan bulan dan ribuan bintang di langit yang terbentang luas itu.

Perlahan-lahan aku menghampirinya supaya kehadiranku tidak dapat disedarinya.Aku bersembunyi di sebalik pepohon sakura yang berada di taman itu.Ketika aku berhenti pada jarak dua pokok daripadanya,dia berpaling kebelakang secara tiba-tiba.

Adakah dia telah merasai kehadiranku?

Setelah itu,dia kembali semula ke posisi asalnya.

Apakah yang difikirnya itu sambil memerhati rembulan itu?Aku ingin mengetahuinya.

Langkahku diatur perlahan-lahan sehingga tiba di belakang pokok sakura di mana dia berada. Aku memerhatikan si putera dari belakangnya.Dia kelihatan matang lagikan sempurna sebagai seorang putera idaman.Namun,hakikatnya manusia tidak sempurna dari semua segi kerana ada kelebihan dan kelemahannya.

Aku muncul secara tiba-tiba di sisinya lalu bertanya, “Apakah yang kamu sedang lihat di langit yang cantik itu?”

Dijawabnya, “Aku sedang melihat masa depanku.”

Apakah maksudnya dengan masa depan itu?

“Aku tak faham apakah maksudmu itu.Adakah di atas sana kamu dapat melihatnya?”

Mata si putera langsung tidak melihat ke arahku ketika berbicara.“Ya.Kerana masa depanku berada di hadapanku sama seperti bulan itu,”

Bahasa berkiasnya tidak aku fahami sepenuhnya. “Apa kaitannya dengan bulan itu?Adakah dirinya juga seperti kamu di dunia nyata ini?”Inginku tahu maksud sebenarnya di sebalik kiasan yang pertama kali aku dengari daripada si putera ini.

“Tidakkah kau terfikir bulan yang dipagari bintang di langit malam ini sama seperti aku yang sentiaasa dikelilingi gadis-gadis cantik di dalam kelas?Apakah perasaanmu jikalau dirimu berada dalam situasiku ini?Adakah kamu boleh berhadapan dengan mereka?”Kini dia memandang ke arahku setelah sekian lama dia memerhatikan keindahan langit malam ini.

“Bagi diriku itu adalah mustahil.Tetapi bagi dirimu itu tidak mustahil kerana kamu seorang putera yang tabah.Segala ujian kamu harungi dengan tenang.Walau seberat mana pun tugasmu sebagai seorang ketua,kamu tetap teguh berdiri melaksanakannya demi guru-guru, rakan-rakan dan sekolah kita.Aku berharap suatu hari nanti kamu boleh menjadi seorang pemimpin yang dihormati dan disanjungi bukan kerana pangkatmu tetapi kerana keadilanmu dan ketaatanmu terhadap Yang Maha Pencipta seluruh alam,”Aku berharap sokonganku ini memberimu semangat untuk terus maju walaupun dirimu dipagari bintang sekalipun.

Si putera menguntumkan senyumannya yang manis itu kepadaku.Aku membalasnya sebagai seorang sahabat yang sentiasa ingin tahu tentang dirinya.Niatku bukan untuk menarik minatnya tetapi untuk menjadi sahabatnya.Kami bersama-sama memerhatikan langit malam yang cantik itu dan berharap dapat mengharungi segala dugaan dengan mudah.

Kami dikejutkan dengan kehadiran sembilan orang puteri jelita yang menuju ke arah kami. Mereka sangat gembira pada malam itu dengan membawa beberapa kotak hadiah ke taman ini.Kami semua berkumpul di sini pada malam yang penuh bermakna bagi pelajar kelas sains seperti kami.Hadiah-hadiah tersebut dihulurkan kepada si putera yang kelihatan terkejut dengan situasi itu. Hal ini demikian kerana malam ini adalah malam bersejarah buat si putera terakhir kelas kami.

Malam yang indah ini merupakan hari lahir si putera yang ke-17.Majlis sambutan hari lahir ini disaksikan oleh sang rembulan dan ribuan bintang di langit malam yang kian terserlah kecantikannya apabila dihiasi oleh letupan bunga api yang pelbagai warna.

Pada saat ini kami memerhatikan suasana yang indah ini bersama-sama.Bunga api musim panas memang cantik malah lagi bertambah cantik jika dapat menyaksikannya bersama-sama orang yang tersayang.Kami semua berharap suatu hari nanti kami akan ditemukan kembali dan dapat bergembira bersama-sama seperti malam ini. “Selamat Hari Lahir aku ucapkan, semoga dirimu terus maju menuju masa depanmu yang tidak kamu ketahui.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan