Ahad, 9 Ogos 2015

MIMPIKU : APAKAH KEBENARANNYA?



Aku bermimpi tentang suasana yang tidak disangkal oleh akal fikiran, mimpikan dunia kehancuran. Gerun terasa tatkala terkenang mimpi itu, kejadian yang bagaikan realiti di atas bumi ini.

Beberapa bulan yang lepas aku bermimpi tentang puting beliung yang menghancurkan bumi ini. Pusaran yang sangat kuat sehingga menyebabkan pintu rumah tercabut. Bukan hanya satu malah lebih daripada satu di setiap kawasan tersebut. Puting beliung itu berputar ligat bersama-sama jutaan batu-batuan kecil sebesar batu kelikir dan berwarna hitam. Batu yang sangat tajam dan panas.

Ada sesetengah batu-batuan itu terkeluar dari puting beliung dan terkena sesiapa sahaja yang ada dalam jarak yang dekat dan sangat jauh. Tatkala batu-batu itu menyentuh kulit, batu itu terus meresap ke dalam kulit dan menghasilkan gelembung seperti air yang mendidih. Sangat panas sehingga membuatkan  manusia itu menjerit kesakitan. Rumah-rumah hancur dimusnahkan oleh beliung-beliung yang ligat berputar bersama-sama batu-batuan yang kecil. Kedengaran jeritan dari setiap sudut dan suasana yang huru-hara. Manusia dan haiwan tidak tahu mahu melarikan diri ke mana lagi kerana tiada tempat untuk bersembunyi.

Setelah sekian lama aku tidak memikirkan tentang mimpi itu, satu lagi mimpi yang menggugat keberanian aku ialah langit yang gelap secara tiba-tiba.

Di sebuah kawasan yang aku tidak ketahui, sangat jelas daripada pandangan aku seperti benar-benar berlaku. Langit yang tadinya cerah tiba-tiba muncul awan gelap yang kelihatan berpusar dan memenuhi ruang langit. Kemudian, keseluruhan langit menjadi gelap disebabkan awan itu. Kilat kelihatan tetapi guruh tidak berdentum. Ada beberapa garisan di awan hitam itu, tidak pasti mengapa sedemikian. Suasana menjadi huru-hara,  manusia dan haiwan berlari ketakutan.

Kedengaran laungan azan yang kuat dan merdu bagaikan datangnya dari langit yang gelap itu. Semua makhluk berhenti bergerak tatkala mendengarnya dan masing-masing melihat ke arah langit, tergamam. Suasana senyap sunyi sehingga berakhirnya azan.

Hanya sebuah mimpi tetapi tampak realiti berlaku di hadapan mataku. Aku turut merasakan ketakutan itu. Ingatlah wahai sahabat, dunia semakin hampir  dengan penamatnya. Berdoalah agar Allah sentiasa melindungi kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan