Sabtu, 8 Ogos 2015

KISAHKU : HIJAB DIBUKA

Dicipta-Nya makhluk yang pelbagai di atas muka bumi ini untuk memenuhi seisi dunia ciptaan-Nya. Bintang, bulan, planet, tumbuhan, gunung-ganang, lautan, manusia dan sebagainya dicipta-Nya dengan teliti. Namun, disebalik ciptaan-Nya ada lagi makhluk yang lain. Wujudnya tidak kelihatan dengan mata kasar. Dia Maha Pencipta, Mengatahui segala yang berada di langit dan di bumi.
                                     
Manusia tidak boleh mempertikaikan ciptaan-Nya kerana Dia tahu atas tujuan dicipta-Nya sesuatu makhluk itu. Maka, janganlah manusia leka sehingga dikuasainya. Mohonlah perlindungan daripada Allah, nescaya Dia melindungi hamba-Nya.
Dibukanya hijab seorang insan yang baru mengenali dunia luar. Maka, ujian-Nya bermula tatkala umurnya 16 tahun.

Amril ialah seorang pelajar lelaki yang sering menyendiri kerana tiada yang sudi menjadi rakannya biarpun dia berada di dalam kelas yang terbaik sepanjang alam persekolahannya. Selain itu, dia juga merupakan pelajar cemerlang di sebuah sekolah elit yang sangat gah namanya dalam kalangan sekolah handalan.

Malam yang gelap tanpa sang rembulan dan bintang-bintang di langit, Amril berjalan sendirian di kawasan sekolahnya. Langkahnya pantas menuju ke kelas 4 Amanah yang terletak di blok F yang terpencil tempatnya.

Dia terlihat seorang perempuan berada di dalam kelasnya. Perempuan itu sedang duduk di hadapan tempat duduknya sambil menunduk seperti membaca buku. Amril memberanikan dirinya untuk masuk ke dalam kelas tersebut tanpa rasa gerun.

Salam beri tatkala dia melangkah masuk ke dalam kelasnya. Namun, salamnya tidak dijawab.

“Awalnya sampai,” tegurAmril kepada perempuan yang duduk di tempatnya. Amril mengatur langkah menuju ke tempat duduknya yang terletak berhampiran tingkap kelasnya. Beg sandang diletakkan di atas kerusi lalu dia duduk di situ.

“Kamu ni pelajar baru ke? Tak pernah nampak pun sebelum ini,” Soal Amril yang duduk di tempatnya. Perempuan yang berambut ikal mayang itu hanya mendiamkan diri sambil mengangkat kepalanya daripada tunduknya.

“Bosannya. Selalu sangat aku kena sisih macam aku tak pernah wujud dalam dunia ni,” keluh Amril lalu dilihatnya jam dinding yang menunujukkan detik 9.30 malam.

‘Cikgu dengan pelajar lain lambat lagi ke sampai?’ Dikeluarkan telefon bimbitnya lalu dilihat tiada talian di kawasan itu. Amril menghela nafas keras tanda protes.

Kedengaran pintu kelas dikuak oleh seseorang. Terdapat beberapa orang pelajar yang tidak dikenali masuk ke dalam kelas tersebut. Amril leka memerhatikan mereka, “ Siapa mereka?”

Mereka berjalan menuju ke tempat duduk masing-masing sambil membawa beg sandang masing-masing. Sekali lagi pintu kelas dikuak oleh seseorang. Seorang wanita yang kelihatan berusia 50-an sedang melangkah masuk ke dalam kelas dengan membawa satu balang hitam yang mencurigakan. Rambut panjangnya diikat ke belakang. Manakala, rambut hadapannya dibiarkan menutupi mata kirinya.

Wanita itu berjalan menuju ke arah meja guru lalu diletaknya balang di atas meja. “Malam ini kita akan adakan kelas biologi,” ujar wanita itu.

Suasana di dalam kelas itu sunyi sepi.

Amril mengeluarkan buku teks biologinya dari beg sandangnya walaupun dia berasa sedikit curiga dengan situasi tersebut

“Kita akan belajar tentang jantung,” dibukanya penutup balang hitam yang dibawanya tadi lalu tangan kirinya dimasukkan ke dalam balang tersebut.

‘Bab jantung mana ada belajar lagi,’ fikir Amril sambil menyelak muka surat buku teksnya untuk mencari tajuk tersebut.

Bunyi titisan menarik perhatian Amril lalu dilihatnya ke arah wanita itu. Dia sedang memegang jantung sambil air liurnya meleleh membasahi meja guru itu. Kemudian, Amril melihat ke arah mereka yang duduk di tempat pelajar kelas ini. Mereka kelihatan seperti sedang menanti makanan di hadapan mata untuk dimakan.

‘Kenapa dengan mereka?’Dia mula cuak.

Tiba-tiba, perempuan yang berada di hadapannya berdiri dan berpusing ke belakangnya. Matanya yang merah dan bertaring mengejutkan Amril. Dia terpaku di tempat duduknya kerana terkejut.

Waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu, betapa takutnya Amril ketika itu. Maka, dia berdoa semoga dilindungi. Ayat-ayat suci dibaca bersunguh-sunguh sambil memejamkan matanya kerana takut.

Jeritan kuat kedengaran sehingga membingitkan telinganya. Kemudian, suara itu hilang serta-merta. Matanya dibuka dan dilihatnya ke sekeliling, hanya dia sahaja di dalam kelas itu.  Ketika ini jam menunjukkan detik 12.00 malam. Masa yang berlalu dengan pantas tidak dirasai oleh Amril yang sedari tadi berada di dalam kelas tersebut.

Amril bergegas mengemas barangannya dan berlalu pergi meninggalkan kelas tersebut. Dia berlari menuju ke garaj di mana terletaknya basikal merahnya. Amril tersepak sesuatu sehingga tersandung. Dia melihat ke belakang tetapi tiada apa-apa yang kelihatan. Dia cuba berdiri lalu dilihatnya ke arah garaj yang terletak berhampiran kawasan blok F.

Suasana suram menghantui garaj itu. Amril berasa takut untuk ke sana apabila terlihat sesuatu yang menakutkan dengan berdiri berhampiran basikalnya. Kedengaran bunyi tapak kasut sedang mengejarnya namun tiada sesiapa di belakangnya.

Destinasinya kini ialah Surau yang terletak di hadapan tasik blok A. Amril masuk ke dalam surau tersebut lalu dikuncinya pintu. Lantas dicapainya Al-Quran dan memeluknya. Pintu surau diketuk berkali-kali. Amril menangis ketakutan.

*****

Amril dijumpai tertidur di dalam surau sambil memeluk Al-Quran. Ustaz Hafiz kelihatan hairan apabila melihat Amril yang berwajah pucat dan berdarah pada lutut dan sikunya. Disentuhnya kepala Amril. Maka, dia dapat melihat kejadian yang menghantui Amril pada malam tadi. Mengucap panjang Ustaz Hafiz apabila mengetahuinya.

Amril terjaga daripada lenanya lalu dilihatnya Ustaz Hafiz sedang duduk di hadapannya. Tanpa membuang masa, dia terus memeluk Ustaz Hafiz dengan erat.

“Saya nampak....” Dia cuba untuk memberitahu.

“Ustaz tahu,” ujarnya sebelum Amril memberitahunya.

*****

Setelah sebulan kejadian tersebut berlaku, Amril terlibat dalam kem kepimpinan yang dibuat di kawasan perkampungan yang terletak berdekatan hutan.

Amril berada dalam sebuah kumpulan yang mempunyai tujuh orang ahli. Namun, tiada sesiapa pun yang pedulikannya kecuali seorang pelajar lelaki yang bernama Rahimi. Dia bukan pelajar dari kelas yang sama dengan Amril.

Aktiviti mencari kayu api di dalam hutan dijalankan pada waktu senja. Amril dan Rahimi telah dipaksa mencari kayu api di dalam hutan. Manakala, ahli yang lain sedang menguruskan tempat untuk memasak.

Amril dan Rahimi telah terpisah ketika di dalam hutan tersebut. Dia bersendirian sambil mencari jalan keluar.

Bunyi kayu patah telah memeranjatkan Amril lantas dia berpaling ke arah semak yang terdapat pada bahagian kirinya. Rahimi keluar dari semak tersebut sambil membawa seekor rusa buruan yang besar.

“Mana kau dapat rusa besar ini?” Soal Amril sambil menunding jari telunjuk ke arah rusa itu.

“Kebetulan aku terjumpa rusa semasa di tengah hutan tadi,” jelasnya.

Selepas selesai mencari kayu api, mereka berjalan pergi meninggalkan tempat tersebut. Perjalanan mereka semakin jauh, “Kenapa lama sangat? Aku datang sini tadi sekejap je.”

“Mungkin kita dah tersesat,” ujar Rahimi. Amril terkedu apabila mendengarnya.

Dihempasnya kayu api ke tanah kerana penat membawanya, begitu juga dengan Rahimi yang membawa rusa yang besar itu.

“Kita bermalam di sini untuk malam ini,” cadang Rahimi lantas dia duduk di atas tanah.

“Aku tak sangka boleh sesat dalam hutan ni pada halnya bukan hutan tebal pun,” keluh Amril lalu duduk di atas tanah.

“Tak payah fikir lagi. Jom makan. Aku dah lapar ni. Kalau masak rusa bakar pun sedap juga ni,” ujarnya sambil mengeluarkan pisau kecil dari poket kanan seluarnya dan mancis pada poket kiri seluarnya.

“Aku pun dah lapar juga,” disusunnya kayu api untuk membakar rusa tersebut.

Malam purnama yang mengenyangkan. Separuh daripada rusa bakar telah habis dimakan oleh mereka berdua. Unggun api yang digunanya tadi tidak dipadamkan untuk kegunaan mereka supaya dihindari daripada nyamuk dan haiwan buas.

“Aku nak ke sungai. Kau tidurlah dulu,” ujar Rahimi lantas dia berdiri.

“Baiklah,” dia hanya menuruti. Dilihatnya Rahimi yang berlalu pergi ke sungai yang entah di mana terletaknya. Amril terbaring di atas tanah dan terlena kerana kekenyangan.

Mentari menyuluh hutan nipis berhampiran perkampungan kecil ini. Amril dan Rahimi tidak kembali ke tapak perkhemahkan mereka sejak senja semalam. Operasi pencarian dijalankan sehingga tengah hari tetapi  mereka tidak dijumpai.

Di tengah hutan yang tidak diketahui koordinatnya, Amril terjaga daripada lenanya. Dia duduk di atas tanah. Hidungnya terhidu bau yang hangit dan busuk. Dia berpaling ke kanan di mana unggun api berada. Dia melihat sesuatu berwarna coklat kehitaman di sebelah unggun api itu. Ia kelihatan seperti manusia tetapi.....hanya separuh badan sahaja.

“Rahimi?” Dia kenal orang itu. Dia terhundur ke belakang kerana terkejut. Rahimi mati hangus terbakar sama seperti rusa yang dibakarnya malam tadi.

Amril menjerit histeria di tengah hutan. Fikirannya kosong tidak terisi. Ternyata yang dimakannya malam tadi ialah rakannya sendiri. Tapi bukankah Rahimi ada bersama-samanya malam tadi? Siapakah orang yang dijumpainya malam tadi?


Percayakah anda tentang kisah ini? Saya hanya seorang penulis yang berkarya atas nama ilham. Kenyataannya saya tidak ketahuinya. Bagi sesiapa yang namanya tercatat dalam kisah ini, saya harap anda maafkan saya sebab saya tidak tahu kewujudan orang yang bernama ini. Kisah ini hanya rekaan semata-mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan