Dicipta-Nya
makhluk yang pelbagai di atas muka bumi ini untuk memenuhi seisi dunia
ciptaan-Nya. Bintang, bulan, planet, tumbuhan, gunung-ganang, lautan, manusia
dan sebagainya dicipta-Nya dengan teliti. Namun, disebalik ciptaan-Nya ada lagi
makhluk yang lain. Wujudnya tidak kelihatan dengan mata kasar. Dia Maha
Pencipta, Mengatahui segala yang berada di langit dan di bumi.
Manusia
tidak boleh mempertikaikan ciptaan-Nya kerana Dia tahu atas tujuan dicipta-Nya
sesuatu makhluk itu. Maka, janganlah manusia leka sehingga dikuasainya.
Mohonlah perlindungan daripada Allah, nescaya Dia melindungi hamba-Nya.
Dibukanya
hijab seorang insan yang baru mengenali dunia luar. Maka, ujian-Nya bermula
tatkala umurnya 16 tahun.
Amril
ialah seorang pelajar lelaki yang sering menyendiri kerana tiada yang sudi
menjadi rakannya biarpun dia berada di dalam kelas yang terbaik sepanjang alam
persekolahannya. Selain itu, dia juga merupakan pelajar cemerlang di sebuah
sekolah elit yang sangat gah namanya dalam kalangan sekolah handalan.
Malam
yang gelap tanpa sang rembulan dan bintang-bintang di langit, Amril berjalan
sendirian di kawasan sekolahnya. Langkahnya pantas menuju ke kelas 4 Amanah
yang terletak di blok F yang terpencil tempatnya.
Dia
terlihat seorang perempuan berada di dalam kelasnya. Perempuan itu sedang duduk
di hadapan tempat duduknya sambil menunduk seperti membaca buku. Amril
memberanikan dirinya untuk masuk ke dalam kelas tersebut tanpa rasa gerun.
Salam
beri tatkala dia melangkah masuk ke dalam kelasnya. Namun, salamnya tidak
dijawab.
“Awalnya
sampai,” tegurAmril kepada perempuan yang duduk di tempatnya. Amril mengatur
langkah menuju ke tempat duduknya yang terletak berhampiran tingkap kelasnya.
Beg sandang diletakkan di atas kerusi lalu dia duduk di situ.
“Kamu
ni pelajar baru ke? Tak pernah nampak pun sebelum ini,” Soal Amril yang duduk di
tempatnya. Perempuan yang berambut ikal mayang itu hanya mendiamkan diri sambil
mengangkat kepalanya daripada tunduknya.
“Bosannya.
Selalu sangat aku kena sisih macam aku tak pernah wujud dalam dunia ni,” keluh
Amril lalu dilihatnya jam dinding yang menunujukkan detik 9.30 malam.
‘Cikgu
dengan pelajar lain lambat lagi ke sampai?’ Dikeluarkan telefon bimbitnya lalu
dilihat tiada talian di kawasan itu. Amril menghela nafas keras tanda protes.
Kedengaran
pintu kelas dikuak oleh seseorang. Terdapat beberapa orang pelajar yang tidak
dikenali masuk ke dalam kelas tersebut. Amril leka memerhatikan mereka, “ Siapa
mereka?”
Mereka
berjalan menuju ke tempat duduk masing-masing sambil membawa beg sandang
masing-masing. Sekali lagi pintu kelas dikuak oleh seseorang. Seorang wanita
yang kelihatan berusia 50-an sedang melangkah masuk ke dalam kelas dengan
membawa satu balang hitam yang mencurigakan. Rambut panjangnya diikat ke
belakang. Manakala, rambut hadapannya dibiarkan menutupi mata kirinya.
Wanita
itu berjalan menuju ke arah meja guru lalu diletaknya balang di atas meja.
“Malam ini kita akan adakan kelas biologi,” ujar wanita itu.
Suasana
di dalam kelas itu sunyi sepi.
Amril
mengeluarkan buku teks biologinya dari beg sandangnya walaupun dia berasa
sedikit curiga dengan situasi tersebut
“Kita
akan belajar tentang jantung,” dibukanya penutup balang hitam yang dibawanya
tadi lalu tangan kirinya dimasukkan ke dalam balang tersebut.
‘Bab
jantung mana ada belajar lagi,’ fikir Amril sambil menyelak muka surat buku
teksnya untuk mencari tajuk tersebut.
Bunyi
titisan menarik perhatian Amril lalu dilihatnya ke arah wanita itu. Dia sedang
memegang jantung sambil air liurnya meleleh membasahi meja guru itu. Kemudian,
Amril melihat ke arah mereka yang duduk di tempat pelajar kelas ini. Mereka
kelihatan seperti sedang menanti makanan di hadapan mata untuk dimakan.
‘Kenapa
dengan mereka?’Dia mula cuak.
Tiba-tiba,
perempuan yang berada di hadapannya berdiri dan berpusing ke belakangnya.
Matanya yang merah dan bertaring mengejutkan Amril. Dia terpaku di tempat
duduknya kerana terkejut.
Waktu
itu hanya Tuhan sahaja yang tahu, betapa takutnya Amril ketika itu. Maka, dia
berdoa semoga dilindungi. Ayat-ayat suci dibaca bersunguh-sunguh sambil
memejamkan matanya kerana takut.
Jeritan
kuat kedengaran sehingga membingitkan telinganya. Kemudian, suara itu hilang
serta-merta. Matanya dibuka dan dilihatnya ke sekeliling, hanya dia sahaja di
dalam kelas itu. Ketika ini jam
menunjukkan detik 12.00 malam. Masa yang berlalu dengan pantas tidak dirasai
oleh Amril yang sedari tadi berada di dalam kelas tersebut.
Amril
bergegas mengemas barangannya dan berlalu pergi meninggalkan kelas tersebut.
Dia berlari menuju ke garaj di mana terletaknya basikal merahnya. Amril
tersepak sesuatu sehingga tersandung. Dia melihat ke belakang tetapi tiada
apa-apa yang kelihatan. Dia cuba berdiri lalu dilihatnya ke arah garaj yang
terletak berhampiran kawasan blok F.
Suasana
suram menghantui garaj itu. Amril berasa takut untuk ke sana apabila terlihat
sesuatu yang menakutkan dengan berdiri berhampiran basikalnya. Kedengaran bunyi
tapak kasut sedang mengejarnya namun tiada sesiapa di belakangnya.
Destinasinya
kini ialah Surau yang terletak di hadapan tasik blok A. Amril masuk ke dalam
surau tersebut lalu dikuncinya pintu. Lantas dicapainya Al-Quran dan
memeluknya. Pintu surau diketuk berkali-kali. Amril menangis ketakutan.
*****
Amril
dijumpai tertidur di dalam surau sambil memeluk Al-Quran. Ustaz Hafiz kelihatan
hairan apabila melihat Amril yang berwajah pucat dan berdarah pada lutut dan
sikunya. Disentuhnya kepala Amril. Maka, dia dapat melihat kejadian yang
menghantui Amril pada malam tadi. Mengucap panjang Ustaz Hafiz apabila
mengetahuinya.
Amril
terjaga daripada lenanya lalu dilihatnya Ustaz Hafiz sedang duduk di hadapannya.
Tanpa membuang masa, dia terus memeluk Ustaz Hafiz dengan erat.
“Saya
nampak....” Dia cuba untuk memberitahu.
“Ustaz
tahu,” ujarnya sebelum Amril memberitahunya.
*****
Setelah
sebulan kejadian tersebut berlaku, Amril terlibat dalam kem kepimpinan yang
dibuat di kawasan perkampungan yang terletak berdekatan hutan.
Amril
berada dalam sebuah kumpulan yang mempunyai tujuh orang ahli. Namun, tiada
sesiapa pun yang pedulikannya kecuali seorang pelajar lelaki yang bernama
Rahimi. Dia bukan pelajar dari kelas yang sama dengan Amril.
Aktiviti
mencari kayu api di dalam hutan dijalankan pada waktu senja. Amril dan Rahimi
telah dipaksa mencari kayu api di dalam hutan. Manakala, ahli yang lain sedang
menguruskan tempat untuk memasak.
Amril
dan Rahimi telah terpisah ketika di dalam hutan tersebut. Dia bersendirian
sambil mencari jalan keluar.
Bunyi
kayu patah telah memeranjatkan Amril lantas dia berpaling ke arah semak yang
terdapat pada bahagian kirinya. Rahimi keluar dari semak tersebut sambil
membawa seekor rusa buruan yang besar.
“Mana
kau dapat rusa besar ini?” Soal Amril sambil menunding jari telunjuk ke arah
rusa itu.
“Kebetulan
aku terjumpa rusa semasa di tengah hutan tadi,” jelasnya.
Selepas
selesai mencari kayu api, mereka berjalan pergi meninggalkan tempat tersebut.
Perjalanan mereka semakin jauh, “Kenapa lama sangat? Aku datang sini tadi
sekejap je.”
“Mungkin
kita dah tersesat,” ujar Rahimi. Amril terkedu apabila mendengarnya.
Dihempasnya
kayu api ke tanah kerana penat membawanya, begitu juga dengan Rahimi yang
membawa rusa yang besar itu.
“Kita
bermalam di sini untuk malam ini,” cadang Rahimi lantas dia duduk di atas
tanah.
“Aku
tak sangka boleh sesat dalam hutan ni pada halnya bukan hutan tebal pun,” keluh
Amril lalu duduk di atas tanah.
“Tak
payah fikir lagi. Jom makan. Aku dah lapar ni. Kalau masak rusa bakar pun sedap
juga ni,” ujarnya sambil mengeluarkan pisau kecil dari poket kanan seluarnya
dan mancis pada poket kiri seluarnya.
“Aku
pun dah lapar juga,” disusunnya kayu api untuk membakar rusa tersebut.
Malam
purnama yang mengenyangkan. Separuh daripada rusa bakar telah habis dimakan
oleh mereka berdua. Unggun api yang digunanya tadi tidak dipadamkan untuk
kegunaan mereka supaya dihindari daripada nyamuk dan haiwan buas.
“Aku
nak ke sungai. Kau tidurlah dulu,” ujar Rahimi lantas dia berdiri.
“Baiklah,”
dia hanya menuruti. Dilihatnya Rahimi yang berlalu pergi ke sungai yang entah
di mana terletaknya. Amril terbaring di atas tanah dan terlena kerana
kekenyangan.
Mentari
menyuluh hutan nipis berhampiran perkampungan kecil ini. Amril dan Rahimi tidak
kembali ke tapak perkhemahkan mereka sejak senja semalam. Operasi pencarian
dijalankan sehingga tengah hari tetapi
mereka tidak dijumpai.
Di
tengah hutan yang tidak diketahui koordinatnya, Amril terjaga daripada lenanya.
Dia duduk di atas tanah. Hidungnya terhidu bau yang hangit dan busuk. Dia
berpaling ke kanan di mana unggun api berada. Dia melihat sesuatu berwarna coklat
kehitaman di sebelah unggun api itu. Ia kelihatan seperti manusia
tetapi.....hanya separuh badan sahaja.
“Rahimi?”
Dia kenal orang itu. Dia terhundur ke belakang kerana terkejut. Rahimi mati
hangus terbakar sama seperti rusa yang dibakarnya malam tadi.
Amril
menjerit histeria di tengah hutan. Fikirannya kosong tidak terisi. Ternyata
yang dimakannya malam tadi ialah rakannya sendiri. Tapi bukankah Rahimi ada
bersama-samanya malam tadi? Siapakah orang yang dijumpainya malam tadi?
Percayakah
anda tentang kisah ini? Saya hanya seorang penulis yang berkarya atas nama
ilham. Kenyataannya saya tidak ketahuinya. Bagi sesiapa yang namanya tercatat
dalam kisah ini, saya harap anda maafkan saya sebab saya tidak tahu kewujudan
orang yang bernama ini. Kisah ini hanya rekaan semata-mata.