Isnin, 7 Disember 2015

KISAHKU : LEMBAGA HUTAN



Di sebuah hutan yang kaya dengan kelestarian alam, tinggalnya sebuah keluarga miskin di dalamnya. Pak Harun merupakan seorang pengutip hasil hutan yang sering pergi ke pekan untuk menjual hasil hutan yang diperolehnya. Maka, tinggallah isterinya sendirian di rumah apabila Pak Harun pergi ke pekan. Ketika ini Mak Biah sarat mengandung dan mungkin akan beranak pada bila-bila masa sahaja.

“Biah, hari ini abang nak pergi ke pekan. Banyak akar kayu yang perlu dijual. Biah duduk di rumah baik-baik, ya,” ujar Pak Harun sambil mengusap rambut isteri kesayangannya.

“Abang boleh balik awal sikit hari ini?” Tanya Mak Biah sambil melihat wajah suaminya.
Dipegangnya tangan kanan suaminya lalu diletakkan pada perutnya, “Saya risau kalau saya terberanak sendirian nanti. Perut ni dah rasa sakit sangat.”

“Ya, abang akan balik awal. Biah berehatlah dulu. Abang nak pergi ke pekan,” tangan kirinya diturunkan dari kepala isterinya.

Mak Biah mengucup tangan Pak Harun yang dipegangnya tadi, “Hati-hati ya, abang. Biah tunggu abang balik nanti.”

Kemudian, Pak Harun mengucup dahi isterinya, “Abang minta diri dulu. Assalammualaikum.”

Pak Harun menapak turun anak tangga dan memakai kasut selipar. Selepas itu dia mencapai dua karung akar kayu yang terletak di tepi tangga rumah. Pak Harun sempat berpaling melihat isterinya sebelum dia melangkah menuju ke arah laluan ke pekan.

Mak Biah sengosok-gosok perutnya lalu berkata, “Sabar ya sayang.”

Pak Harun kembali ke rumahnya selepas seharian pergi ke pekan. Suasana sunyi pada waktu petang buatkan hutan ini kelihatan seram.

“WARGH!!!!!!!!” Jeritan yang kuat kedengaran dari rumah Pak Harun.

Pak Harun bergegas menuju ke rumahnya. Karung akar kayu yang dibawa tadi dilemparkan ke tepi tangga. “Biah!”

Pak Harun naik ke rumah. Dilihatnya Mak Biah telah terlantar di atas lantai.

“Abang, Biah dah nak beranak,” ujar Biah dalam kesakitan.

“Biah bertahanlah. Abang pergi panggilkan bidan,” Pak Harun bergegas keluar dari rumahnya dan menuju ke pekan kampung berdekatan untuk mencari bidan.

Mak Biah mengalirkan air matanya kerana terlalu sakit. Darah mula mengalir keluar dan membasahi lantai rumahnya.

Bayu kencang membadai alam, bunyi gemersik kedengaran jelas dalam suasana sunyi di dalam hutan ini. Mak Biah berpaling ke kiri di mana terletaknya pintu rumah yang terbuka luas. Di situ berdirinya seorang nenek tua yang memakai baju kebaya dan kain batik.

“Siapa kamu?” Soal Mak Biah yang tidak bermaya.

Dia menapak naik anak tangga, “Nek Bidan.”

“Bidan? Mana suami saya?”

“Nenek tak tahu. Nenek datang ke sini pun sebab terdengar cucu menjerit tadi,” bicaranya sambil berjalan menghampiri Mak Biah.

“Nek Bidan, tolong saya,” pintanya dalam tagisan kesakitan.

“Biah!”Pak Harun berlari pulang ke rumah.

“Abang minta maaf. Abang tak jumpa bidan,” beritahu suaminya sambil tercungap-cungap kepenatan di hadapan pintu rumah.

Pak Harun terkejut apabila melihat seseorang duduk di sebelah isterinya,” Siapa kau?”

Nenek itu hanya mendiamkan diri sambil memegang sesuatu pada kedua-dua tangannya. Dia kelihatan seperti sedang makan.

Pak Harun memberanikan dirinya untuk naik ke dalam rumahnya, “Apa yang kau buat dalam rumah aku?”

Kemudian, dia melihat ke arah isterinya. Darah banyak mengalir sehingga ke hujung kaki, “Biah.”

Nenek itu tiba-tiba berpaling melihat Pak Harun di belakangnya. Mulutnya berdarah dan pada tangannya terdapat uri yang berdarah. Pak Harun terkejut lalu terundur ke belakang dan terjatuh.
Nenek itu berdiri dan melihat ke arahnya. Pada ketika ini, Pak Harun juga dapat melihat perut isterinya dirobek dan anaknya juga telah mati.

“Kau ni siapa sebenarnya?” Pak Harun kelihatan cuak. Dia berundur ke belakang dengan menggunakan kedua-dua tapak tangannya.

Nenek ini mencampak uri ke lantai lalu diterkamnya Pak Harun dengan pantas dan dirobeknya perut Pak Harun. Jeritan Pak Harun bergema di dalam hutan itu.

Kini, sudah 30 tahu kisah itu berlalu. Namun, rumah usang itu masih utuh di dalam hutan tebal itu. Dahulunya dihuni oleh manusia tetapi kini dihuni oleh lembaga hutan. Suara tagisan sering kedengaran di dalam hutan ini dan ramai orang yang masuk ke hutan ini tidak pernah kembali lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan