Selasa, 23 Ogos 2016

PUISI : HANYA KAMU



Hadirmu di sisi mengubati rindu dan sepi,
Hadirmu di sini kusentiasa menanti,
Hadirmu dalam hati bagaikan bahagia kuimpi,
Hadirmu dalam hidup ini sememangnya kusyukuri.

Secebis kebahagiaan kuhadiahkan untukmu,
Secebis kasih kukirimkan dalam mimpimu,
Secebis sayang kuberikan kepadamu,
Secebis cinta kusulamkan untukmu.

Sekalung kenangan bersulam kasih kuberikan kepadamu,
Sekotak hadiah kuhulurkan bersama cinta untukmu,
Seikhlas hati kuterima dirimu,
Sejujur lidah kuungkapkan cinta kepadamu.

Lirikan mesramu mekarkan mawar di hatiku,
Kemerduan suaramu menusuk kalbuku,
Ukiran senyumanmu menambah kebahagiaanku,
Hadirmu di sini sentiasa di sisiku.

Di kamar pendeta kita bertemu,
Di bawah cahaya rembulan kita bermadu,
Di hati kau dan aku bertaut kasih yang satu,
Di jiwaku hanya ada dirimu.

KISAHKU : LEMBAGA TIDAK BERKEPALA



Bunyi seretan yang jelas kedengaran buatkan seorang penghuni asrama terjaga pada jam 3: 15 pagi. Pagi yang sangat sunyi. Seretan itu semakin hampir dengan  biliknya. Mazlan berkelumbung di dalam selimutnya. Mungkin kerana takut. Tagisan kedengaran kuat secara tiba-tiba. di hadapan tingkap yang terletak bertentangan dengan padang asrama. Tingkap bilik yang dikunci rapat dicakar makhluk yang tidak dikenali itu.

Pada masa yang sama, seorang lelaki yang berlumuran darah berjalan sendirian sambil mengheret mayat seorang gadis tanpa kepala. Darah dari leher mayat tersebut telah membasahi padang yang terletak berhampiran asrama lelaki. Manakala, kepala mayat tersebut tercacak pada mata pisau yang dipegang pada tangan kirinya. Jejaka itu membebel sendirian dan ketawa bagaikan orang gila.

“Dah tak ada guna lagi untuk aku simpan kau lama-lama. Aku pun dah muak tengok muka kau yang hodoh ni.” Diangkatnya pisau yang berkepala itu di hadapan mukanya. Wajah yang ditoreh itu diludahnya tanda kebenciannya.

Langkahnya berhenti di hadapan tingkap bertentangan dengan bilik di mana Mazlan berada. Kaki kiri mayat yang diheretnya tadi dilepaskan dan kepala yang berada pada hujung pisau dicampak di atas padang. Kemudian, dia menggali satu lubang di kawasan tersebut dengan menggunakan pisau yang dibawanya tadi.

Seusainya dia menggali, dia mencampak tubuh mayat tersebut ke dalam lubang yang tidak terlalu dalam dan tidak terlalu cetek itu.dan kepalanya ditikam berkali-kali sebelum mencampak mayat itu bersama-sama pisaunya ke dalam lubang tersebut. Tanah dikambus kembali. Langkahnya meninggalkan kawasan tersebut bersama-sama tawaannya yang menggila.

Jeritan nyaring seorang gadis buatkan Mazlan kecut perut. Bunyi cakar semakin kuat seperti mahu pecah kaca tingkap itu. Taufik yang tidur di sebelah Mazlan turut terjaga. Matanya dibuka dan melihat ke arah tingkap bilik yang bertentangan dengan padang. Lembaga berikal mayang dengan ciri-ciri yang lainnya sedang terapung diudara dengan mata merahnya memerhati jejaka itu. Taufik segera menutup wajahnya dengan menggunakan bantal.

Seketika kemudian, air pancut terpasang dengan sendirinya. Bunyi air yang keluar deras itu telah mengejutkan Mazlan dan Taufik. Mereka saling berpandangan. Siapa yang berada di dalam bilik mandi sedangkan mereka berdua ada di sini?

Seretan selipar di dalam bilik mandi menambahkan lagi ketakutan kepada dua orang jejaka ini. “Ada hantu ke?” Soal Taufik.

“Oi, celupar betul mulut kau. Diam sudahlah.” Marah Mazlan seraya menarik selimutnya ke dada.
Suara tagisan mula kedengaran selepas bunyi air pancut di bilik mandi senyap. Esakkan itu seperti berada sangat hampir dengan mereka. Taufik menelek ke tepi katil pada hujung kakinya. Dia menjerit apabila melihat kepala seorang gadis yang ditoreh teruk sedang bergolek-golek ke arahnya.

Mazlan turut terkunci mulut apabila melihat tubuh gadis yang berlumuran darah di hadapan pintu bilik mandi yang terbuka dengan sendirinya ketika tagisan itu kedengaran. Masing-masing bingkas bangun dan berlari keluar dari bilik tersebut. Mereka berlari ke arah padang di mana kawasan tersebut berhampiran dengan lubang yang ditanam mayat pembunuhan.

Taufik tersandung. Dilihatnya ke arah kakinya terasa sakit itu. Kakinya telah dipegang oleh tangan seseorang dari dalam tanah. Lantas Taufik memanggil Mazlan sekuat hatinya apabila Mazlan kelihatan mahu melarikan diri dari situ. “Lan, janganlah tinggalkan aku. Lan, tolonglah aku.” Jeritnya.

Mazlan segera mencapai tangan kanan rakannya lalu ditariknya kuat sehingga kaki Taufik dilepaskan.
Masing-masing cuak dan berlari ke arah pondok jaga yang berada tidak jauh daripada kawasan padang tersebut. Setibanya Mazlan di pondok jaga, Mazlan menjengukkan kepalanya di dalam pondok tersebut dan memberi salam.

Taufik yang berlari di belakang Mazlan tadi tercungap-cungap menangambil nafas. Dilihatnya seorang lelaki sedang bercakap-cakap sendirian sambil memegang sebilah pisau kecil pada tangan kanannya di dalam pondok tersebut. Lelaki itu menoleh ke arah Taufik dengan senyuman yang menyeramkan. “Ya, ada apa?”

Taufik berundur ke belakang. “Mana Mazlan?” Soalnya kepada lelaki itu sambil matanya melihat pisau pada tangan manusia itu.

“Kawan kau ke? Jangan risau. Dia selamat.” Lelaki itu bangun dan menghampiri Taufik. Taufik pula jatuh terduduk akibat terlanggar batu ketika berundur.

Dengan senyuman kejamnya dia menyua pisau tersebut pada perut Taufik. “Dia selamat dikebumikan.” Lelaki itu ketawa. Taufik cuak dan kesakitan.

Tanpa belas kasihan. Rambut Taufik ditariknya lalu dia memenggal kepada Taufik sambil ketawa bagaikan orang gila.

Kemudian, diheretnya jasad Taufik yang tidak berkepala itu ke padang di mana dia menanam mayat seorang gadis dan Mazlan. Entah mengapa dia tampak gembira sangat ketika melakukannya.

Kini, kes pembunuhan tersebut tidak dapat dikenal pasti siapa yang melakukannya biarpun pihak polis telah menyelongkar tapak penanaman mayat di padang tersebut pada bulan lalu. Ketika penyiasatan dilakukan, lelaki pelik itu mengintai di sebalik bangunan berhampiran padang sambil tersenyum sendirian dengan sebilah pisau pada tangan kanannya.

Apakah yang anda akan lakukan sekiranya anda berada dalam situasi ini?

KISAHKU : SENDIRIAN MERANTAU ASRAMA



Beranikah anda berjalan sendirian di kawasan asrama pada pukul 5 : 30 pagi dengan dalam keadaan yang tidak suci (uzur bagi perempuan)? Pernahkah anda merasai bahawa diri anda sentiasa diekori? Apa yang anda akan lakukan sekiranya anda dapati bahawa hijab anda dibuka pada waktu itu? Lari, menjerit, diam atau membaca ayat suci Al-Quran? Ini kisah benar yang pernah berlaku kepada penulis sendiri.

Jam berdering menandakan pukul 5 : 00 pagi. Seperti biasa aku akan ambil masa selama 30 minit hingga 45 minit untuk sambung tidur dan terjaga dengan sendirinya. Tetapi pada hari itu aku terjaga pada pukul 4 : 50 pagi dan terus pergi mandi. Aku sangkakan itu pukul 5 :50 pagi, waktu biasa aku bangun. Aku tak tahu pula hari itu aku terkunci jam pukul 4 : 00 pagi.

Setelah selesai kemas apa yang patut, aku terus pergi mandi dan bersiap-siap untuk pergi ke surau. Sekali lagi aku melihat jam yang kusangka sudah pukul 6 : 20 pagi walhal baru pul 5 : 20 pagi. Siapa bolah nampak jarum jam dalam keadaan gelap ditambah pula jam tangan yang berwarna hitam dan tiada nombor, hanya garisan-garisan besar dan kecil sahaja.

Setelah itu, mengejutkan adik bilik aku atas tujuan untuk mengajaknya pergi ke surau. Dia terjaga, bangun, tengok jam dan tidur kembali. Aku abaikan sahaja. Lantas aku mencapai sebuah novel yang bertajuk ‘KILL ME’ dan aku selitkan Yassin di dalamnya. Aku memang suka bawa buku ke mana-mana sahaja tak kiralah buku apa pun yang pasti mesti ada buku pada tangan aku. Selalunya aku bawa buku kerja sekolah tapi entah macam mana aku hari itu aku boleh pula terambil novel ‘KILL ME’ tu dari dalam beg sekolah aku dan mencapai botol air.

Kemudian, aku membuka pintu. Situasi sunyi seperti tiada penghuni di dalamnya. Aku keluar daripada bilik. Seperti biasa aku berjalan menuruni anak tangga menuju ke surau dalam keadaan senyap disebabkan aku seorang pendiam, dalam fikiran hanya ingat Allah sahaja. Ketakutan terasa tetapi diabaikan. Diri yang terasa diekori turut diabaikan. Dalam hati “Think positive.” Diulang beberapa kali. Adakalanya aku berzikir sepanjang perjalanan. Nak pandang belakang memang tak berani.

Apabila tiba di luar blok asrama. Aku cuba kawal pandangan aku daripada melihat ke arah sebatang pokok melor yang terletak bertantangan dengan tangga. Hal ini demikian kerana itulah tempat yang sering menjadi penarik perhatian aku. Dengan langkah bosannya aku berjalan menuju ke surau, namun dalam perjalanan tersebut aku hampir menjerit kerana terkejut melihat burung hantu terbang dari atas bumbung. Kemudian, aku mengeluh dan kembali tenang. Ingatkan apa yang terbang tadi. Think positive. Langkah aku diteruskan sehingga ke pintu pagar.

Aku berdiri di hadapan pintu pagar dan menjenguk ke arah surau. Gelap. Macam tak ada orang. Kemudian, aku melihat ke arah pondok jaga, tak ada orang juga. Tapi pintu pagar terbuka luas. Aku perhati blok A yang terletak berhampiran, gelap. Jadi, aku mengambil keputusan untuk pergi ke dewan makan untuk ambil air panas. Pintu dewan makan turut terbuka luas tetapi tiada manusia di dapur dewan makan. Mungkin masih tidur. Selalunya aku masuk dah ada orang tapi hari itu semuanya gelap dan sunyi. Kenapa tak tutup pintu seperti biasa. Ada kelainan di situ, macam mimpi sahaja.

Setelah itu, aura diekori semakin kuat. Aku ada bayangkan bahawa yang mengekori aku itu pelbagai rupanya, ada yang merangkak dan sebagainya. Aku tak tahu nak cakap macam mana. Sebab aku tidak mahu melihatnya.

Aku pantas menuju ke arah blok B di mana terletaknya bilik aku di tingkat dua. Selepas selamat masuk, aku terus tukar tengok jam di hadapan pintu bilik mandi, 5 : 30 pagi. Baru aku sedar bahawa aku berjalan sendirian pada jam sedemikian. Lantas aku menukar pakaian dan terus berselimut atas katil. Terasa bahawa ada yang memerhati aku dalam bilik tidak kurang juga yang berdiri berhampiran aku. Nasiblah kiri aku ada Yassin dan kanana ada Al-Quran yang sering berada di samping aku.
Siapa sangka apa yang aku rasakan mungkin menjadi lebih daripada itu?

Pada malam itu, elektrik tiba-tiba terputus. Semua blok gelap. Aku dan rakan-rakan berada di dalam bilik study. Perasaan pertama ialah MUNGKIN. Itu je yang aku fikirkan. Ada yang menjerit dalam gelap sebab takut dan ada yang berlari. Aku pula masih berfikiran positif walaupun tangan aku dah mengeletar. Sebenarnya, di dalam bilik tersebut ada satu sudut yang aku rasakan ada sesuatu sejak akhir-akhir ini, di tingkap depan dan belakang aku.

Aku segera mengambil beg lalu mencapai lampu picit di dalamnya. Ada yang tanya. “Kau memang dah tahu ke hari ni tak ada elektik? Kau dah dapat petanda ke?” Aku jawab. “Kebetulan je. Aku tak tahu pun.”

Semua pelajar di minta berkumpul di dataran bertentangan dengan surau asrama puteri tanpa pengawasan warden. Hal ini demikian kerana semua warden ada urusan pada hari itu dan yang ada hanyalah EXCO dan guard sahaja. Kemudian, pembantu warden datang untuk mengurusan masalah tersebut sehinggalah aku terdengar perkataan “NAMPAK.” Aku dah boleh agak apa yang sedang dibualkan oleh pelajar tersebut dan pembantu warden.

Selepas pelajar asrama ke bilik masing-masing, arahan untuk membaca Yassin bagi setiap bilik diberi. Aku lantas memasang bacaan ayat suci tersebut dek ketidakmampuan aku untuk membacanya sendiri. Jantung berdegup kencang apabila terfikir tentang peristiwa pagi itu, 5 : 30 pagi.

Salah seorag daripada adik bilik aku dapat melihatnya. Ya, memang ada di pokok itu. Dia nampak rambut ikal mayang itu. Nasiblah aku kawal perasaan dan pandangan itu.
Apakah tindakan anda apabila anda berada di tempat saya? Fikirlah sendiri.

*****

Aku tak pasti sama ada ianya kebetulan ada sememangnya firasat. Kadang kala aku sendiri keliru, mahu percaya atau tidak. Ada saja yang berlaku di sekelilingku. Senang cerita sesuatu keadaan yang sememangnya memerlukan aku untuk melakukan persediaan.
Sehinggakan kawan-kawan bertanya “Kau memang dah dapat petanda ke pasal ni? Selalu sahaja kau bawa benda yang diperlukan. Macam mana kau tahu benda ni nak berlaku? Kau ni hebatla. Penyelamat masa kitaorang susah. Mesti bestkan kalau dapat jadi macam kau. Semua benda kau tahu. Kau boleh tengok masa depan ke?” 

Kata-kata mereka tu buatkan aku tertanya-tanya “Siapakah aku sebenarnya? Benarnya ianya firasat atau kebetulan semata-mata?”

Nak jadi seperti aku? Insaflah siapa yang kata macam tu. Dan aku bukan yang mereka sangkakan hebat tu. Aku tidak boleh lihat masa depan. Aku cuma buat persediaan tentang perkara yang terlintas dalam fikiran aku saja. Aku tak tahu pun benda tu nak berlaku dan aku bukan peramal.

Aku juga manusia. Aku tak nak korang sanjung aku lebih daripada itu. Kata-kata aku tidak 100% adalah nyata. Semua tu kebetulan. Allah yang menentukan segalanya kerana Dia Maha Berkuasa Lagi Maha Mengetahui.