Khamis, 29 Januari 2015

KISAHKU : PERANG INI BAGAIKAN REALITI

Mimpiku bagaikan realiti,sakitnya terasa perit.Dahulu aku sering bermimpi tentang peperangan.Berperang bagaikan seorang satria yang agung.Berperisai besi,berpedang di kanan dan kiri,berambut panjang diikat tocang bagaikan samurai dan terlilit kain merah di dahi.

Elak,elak dan terus mengelak sambil menusuk pedang-pedang ke arah musuh kegelapan.Ketika pedang menusuk musuh,mereka bertukar menjadi abu yang berterbangan ditiup angin malam.

Waktu malam yang diterangi cahaya api yang membakar rumah-rumah penduduk dan kawasan persekitaran.Bumi kini dibasahi darah para perjuang,musuh dan penduduk.Tagisan dan jeritan kedengaran memenuhi ruang di medan perang ini.Mata aku melilau mencari sesuatu yang aku sendiri tidak pasti apa yang dicari.

Serangan secara mengejut sering dikenakan kepada aku.Di sini aku berdiri bersama-sama rakan seperjuangan aku yang aku sendiri tidak kenali.Aku berfikiran sedemikian kerana mereka berpakaian sama seperti aku.

Aku tertanya-tanya, di mana aku berada sekarang? Kenapa di medan perang ini? Mimpi atau nyata? Kerana semua ini seperti benar-benar berlaku kepada aku.Siapakah sebenarnya kalian?

Rakan-rakan seperjuanganku datang menghampiriku.Semuanya adalah sepuluh orang.Wajah mereka tidak dapat aku lihat kerana mereka memakai topeng yang kelihatan seperti burung helang.

"Serahkan segalanya kepada kami." Suara perempuan ini macam pernah aku dengar sebelum ini.Mustahillah 'Dia'.

"Mari ikut saya." Seorang lelaki telah menarik lenganku. "Nak bawa saya ke mana?" Tanyaku yang hairan dengan tindakan lelaki itu.

"Kami ditugaskan untuk melindungi kamu.Ini adalah arahan orang atasan." Jelas lelaki tersebut sambil bergegas membawa aku ke suatu tempat yang asing bagiku.

Aku merentap lenganku yang dipegangnya dan terus beredar dari tempat tersebut kerana tidak mempercayainya.Rasa waswas bersarang dalam hati.

Setibanya aku di tempat mereka bertempur.Aku dapat merasakan aura yang menakutkan di seluruh kawasan tersebut.Mereka yang berjuang menentang musuh telah ditewaskan dengan keadaan yang cedera parah. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat para perjuang itu ialah rakan sekelas aku sendiri.

Kenapa?Apa sebabnya semua ini berlaku? Jadi lelaki itu ialah Asyraf? Mustahil.

Satu tembakan kedengaran lalu aku berpaling ke belakang.Topeng yang dipakainya tertanggal lalu terjatuh ke tanah.Maka terserlah wajahnya yang aku kenali itu.Dia telah ditembak musuh tanpa disedari.

Apa maksud semua ini?Kenapa mereka berada di sini?

Tiba-tiba aku terdengar 'Dia' memanggil namaku.Dunia ini tiba-tiba menjadi gelap.Aku terdengar pintu diketuk oleh seseorang.Lantas aku terjaga dari lena.Mimpi rupanya?

'Dia memanggil aku sekali lagi lalu aku bangun dari baringku dan membuka pintu rumah.Ternyata 'Dia' berada di depan pintu rumahku pada hari aku memerlukannya menyatakan kebenaran disebalik kegelapan mimpi.

Kisah yang bermain di atas pentas mimpi ini membuatkan aku berasa waswas dan sangsi.Walau apa pun yang berlaku mimpi hanyalah mimpi.

KISAHKU : HADIAH

Hadiah merupakan sesuatu yang sering diberikan oleh seseorang kepada insan yang lain. Hadiah dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia. Hadiah dapat menggembirakan  insan yang menerimanya daripada insan yang lain. Selain itu, hadiah juga bukan harta semata-mata. Hadiah yang paling berharga ialah kasih sayang dan kesetiaan yang abadi.

Sokongan sering aku berikan kepada rakan-rakan dan mereka yang memerlukan. Bagiku harta bukan segalanya. Selagi aku mampu aku akan melakukannya biarpun diri ini tidak hidup dalam kemewahan.

Hadiah sering aku berikan kepada sahabat sejati dan rakan-rakannya lain. Hadiah hari lahir,hadiah kejayaan, hadiah persahabatan dan hadiah kebahagiaan. Namun itu hadiah semata-mata kerana bagiku,aku belum layak digelar sahabat sejati. Kesetiaan aku hilang entah ke mana walaupun kasih sayang aku sering bersama mereka.

Aku sedar tentang diri ini. Tidak semua manusia sempurna segalanya. Manusia sering melakukan kesilapan dan mereka cuba memperbaikinya.

Bertahun-tahun aku bersahabat dengan dirinya tetapi baru kini aku dapat membaca isi hatinya. Ditinggalkan warkah untuk aku sebelum dia berhijrah mencari rezeki di daerah orang.


WARKAHKU BUATMU SAHABAT

Assalamualaikum,terima kasih kerana sudi membaca coretanku yang tidak seberapa ini. Namun,nukilan ini pastinya berkisar mengenai perasaan tulus ikhlasku kepadamu wahai sahabatku yang setia dan sejati.

Aku amat berterima kasih kepadamu yang sudi menerima huluranku sebagai seorang sahabat. Sejujurnya, aku bukanlah sahabat yang baik. Banyak kekurangan yang ada pada diriku sehingga kadangkala aku berasa tidak layak untuk bergandingan dan menemanimu sepanjang kita bersama. Dari sehari ke sehari,waktu berlalu dengan pantas sehingga aku terasa baru mengenalimu semalam. Kadangkala aku berasa takut kau akan melupakanku dan sebaliknya. Tapi aku akan sentiasa mengingati dan memerhatimu  walau kita berjauhan. Sejujurnya aku rasa bersyukur kerana Allah meminjamkan kau kepadaku, terasa tiap hari yang berlalu denganmu sungguh seronok. Aku tidak keruan tanpamu di sisi.

Di kesempatan ini,aku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan darimu.Selama ini aku selalu menyusahkan kau walaupun kau selalu berkata tidak kisah. Tapi sebagai manusia yang dianugerahkan oleh Allah akan perasaan. Aku sentiasa ambil peduli akan perkara yang kau tidak kisah.

Sahabatku,sebenarnya banyak lagi yang inginku tintakan di sini,namun aku tidak mahu kau membaca novel.Jadi cukuplah sampai di sini. Cuma satu pintaku, selepas ini jika ditakdirkan kita berpisah, janganlah kau selalu berkata kau tidak kisah. Kalau benar kau tidak kisah,diamkan sahaja kerana aku risau orang akan mengambil kesempatan kepada kau. Mereka akan mendampingimu ketika susah sahaja dan tidak akan ada sekelumit perasaan pun terhadap dirimu. Aku tidak mahu orang lain mempergunakan kau. Kecuali aku kerana aku yakin akan diriku yang sentiasa menghargaimu.

Kumencari-cari teman yang sejati
Buat menemani perjuangan suci
Kepadamu Tuhan kupanjatkan doa
Agar berkekalan kasih sayang kita.


Tiap kali aku merinduinya dia hadir di depanku. Jika dia tidak ke sini mungkin dia akan membuat panggilan telefon kepadaku. Rasa rindu ini bukan hanya diriku kepada dia, namun rasa rindu ini adalah rasa rindu kami yang sehaluan.

KISAHKU : INSPIRASI

Hidupku dipenuhi oleh karyaku yang sering kali aku tulis dan aku lukis.Berpuluh-puluh buku telah aku baca bagi mengisi masa lapang di samping mencari idea-idea baru bagi meneruskan karyaku ini.Hari berganti hari dan tahun berganti tahun.Aku tidak sedar masa berlalu dengan pantas.Ideaku juga mula kering dari setiap saat aku meninggalkan pentas karya ini.

Tepat detik 5.30 petang,aku datang ke siber cafe.Laman blog dibuka namun minda masih kosong.Aku terus menulis dan memadamnya sehingga setengah jam terbuang sia-sia.

Ketika idea mula muncul perasaanku mula berubah.Pelik.Bau wangian yang tidak dapat diungkapkan telah menusuk hidungku setelah sekian lama tidak aku membaunya.Wangian tersebut tidak berbau wangi dan tidak berbau busuk.Bau ini mungkin aku sahaja yang tahu.Lantas dalam fikiranku muncul wajahnya si putera yang tampan.

Kemudian,aku berpaling ke kiri di mana terletaknya tingkap kaca.Aku dapat melihat dirinya dengan jelas dari tempat dudukku ini.Langkahnya pantas menuju ke destinasinya.Walaupun hanya seketika namun kelibatnya sangat bermakna bagi aku kerana dirinya tetap dihatiku.Si dia merupakan inspirasiku selain daripada sahabat sejatiku yang kini berada nun jauh di daerah orang bagi mencari rezekinya.

Hatiku mula berbunga-bunga dan rasa bahagia seketika.Jari-jemariku lancar menaip tanpa henti sambil tersenyum bahagia.Jiwaku tenang setenang lautan tanpa gelora.Perasaan ini telah lama tidak aku rasai.Walaupun sekilas pandang namun tetap bermakna.

Demi karya, aku sering bertandang di siber kafe sambil mencari maklumat pelajaran untuk adik-adik kesayanganku.Walaupun malam aku tetap meneruskannya kerana selagi ada idea selagi itu aku akan terus menulis sehingga ke penghujungnya.

Aku percayakan kata hati.Dia muncul sekali lagi dalam fikiranku ketika aku sedang mengajar adik-adikku.Gerak hatiku menyatakan bahawa kami akan bertemu lagi.Bau wangian itu sekali lagi dapat aku hidu bagaikan dirinya berada di hadapanku.

Jam menunjukkan detik 8.30 malam.Aku datang ke siber kafe lagi.Karyaku diteruskan lagi sambil membantu menyiapkan projek sekolah adik-adik kesayanganku.

Aku terdengar seseorang sedang masuk ke tempat ini.Bau wangian itu semakin kuat.Aku hanya mengendahkannya dan terus fokus menulis cerpenku.Tiba-tiba,aku dapat merasakan bahawa dirinya berdiri di belakangku.Aku tidak berpaling melihatnya.Kemudian,dia mengatur langkah menuju ke tempat di mana rakan-rakannya sedang berseronok bermain game.

Jari-jemariku terasa kebas setelah selesai menamatkan cerpenku untuk hari ini.Ketika sedang merenggang-renggangkan otot jari-jemari,aku cuba curi-curi melihat dirinya yang sedang berdiri sambil memerhatikan rakan-rakannya yang sedang bermain game.

Aku berfikir sejenak tentang dirinya dan perasaanku.Adakah cuma aku yang merasainya atau orang lain juga turut merasainya?Merasai tentang kehadirannya yang datang bagaikan silap mata dan hilang sekelip mata.

Aku mengenalinya sejak di bangku sekolah rendah sehingga sekarang.Namun,dirinya kini telah banyak berubah.Semakin rumit untuk aku fahami dan semakin sukar untuk aku mengenalinya lagi.Inspirasi tetap inspirasi.Aku gembira kerana dapat mengenalinya walaupun hanya seketika.

Musuh tidak ingin aku cari
Kehadiran rakan sering aku nanti
Andai kata anda inspirasiku
Aku harap anda sudi

Selasa, 27 Januari 2015

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca blog saya.Saya rasa gembira kerana anda sudi membacanya walaupun blog yang saya tulis ini tak seberapa.Dalam blog ini saya ingin memaparkan hasil karya saya.Kisah-kisah ini tidak ada kaitan dengan sesiapa pun sama ada yang masih hidup atau pun yang telah tiada.Terima kasih kepada rakan-rakan yang menggalakkan saya menulis blog ini.